Showing posts with label ARTIKEL DAKWAH. Show all posts
Showing posts with label ARTIKEL DAKWAH. Show all posts

Saturday, 21 August 2010

Mendambakan Maghfirah Ilahi


Alhamdulillah kesyukuran kita panjatkan kehadrat Ilahi, kita telah berada dihari yang ke 12 Ramadhan semoga kita dilimpahi rahmat dari Ilahi. Dalam perjalanan Ramadhan kkali ini, kita berada di peringkat pertengahan bulan Ramadhan, tempoh keampunan dari Allah swt. Marilah kita sama-sama mempertingkatkan amal ibadah kita semoga keampunan Allah bersama kita semua.


Sebagai manusia biasa, terlalu banyak dosa dan kesalahan yang kita lakukan, samada dosa terhadap Allah swt mahupun dosa sesama manusia, samada dosa berkaitan hati atau perbuatan kita.


Kita selalu lupakan Allah, hasad dengki, pemarah, tidak sabar, cintakan dunia, sangka buruk, putus asa, keluh kesah, tidak mahu bertaubat., tidak takut kepada Allah, tidak merasai kehebatan dan kebesaran Allah swt. Tidak khusyu' dalam sembahyang dan lain-lain


Disamping dosa-dosa zahir yang sering dilakukan seperti melewat-lewatkan sembahyang, meninggalkan sembahyang, berdusta, menfitnah, menzalimi orang lain, tidak melaksanakan hukum Allah swt dan lain-lain.


Mengapa kita mendambakan keampunan Allah ?


Manusia yang sering melakukan dosa terlalu mendambakan maghfirah Allah swt kerana;


1. Mendapatkan keredhaan Allah swt kerana dengan keredhaan Allah itulah kejayaan yang sebenar.


رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ


Maksudnya; Allah meredhai mereka dan mereka menerima Allah sebagai Tuhan, demikian itu adalah kemenanan yang besar.


2. Menghapuskan dosa-dosa yang telah dilakukan. Hanya dengan keampunan yang diberikan oleh Allah dapat menghapuskan dosa-dosa yang telah dilakukan.


وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ


Maksudnya; Berikanlah keampunan.. kemaafan.. Tidakkah kamu suka agar Allah mengampunkan kamu ? Sesungguhnya Allah itu maha pengampun lagi memberi rahmat


3. Rasa hampir dengan Allah swt. Orang yang sentiasa mengharapkan keampunan Allah akan sentiasa menghampirkan diri kepada Allah swt.


وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ


Maksudnya; Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka Mengetahui


4. Merasai dan mengecapi kebahagian. Orang yang mendapat keampunan Allah, mendapat keredhaan Allah akan merasai kebahagiaan yang hakiki, didunia dan akhirat.


أُولَئِكَ جَزَاؤُهُمْ مَغْفِرَةٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَجَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ


Maksudnya; Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan surga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan Itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.

Tuesday, 10 August 2010

Hadis Tentang Fadhilat Ramadhan



Hadis 1
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa. Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu." Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Hadis 2

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."
Hadis 3

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."
Hadis 4

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Hadis 5

Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Hadis 6
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

Sumber : Darulnu'man.com

Kesilapan di Bulan Ramadhan


Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam . Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain . Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih . Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah . Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat . Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur . Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu.. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat . Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka . Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Oleh Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

RAMADHAN : Antara Ibadah & Adat


Umat Islam seluruh negara telah melangkah masuk ke bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Rentetan daripada ketibaan Ramadan, suasana baruyang tidak dapat dilihat pada bulan-bulan lain akan mengambil tempat.

Di antaranya menggambarkan ciri ibadah puasa yang sebenar serta tidak kurang juga puasa sebagai adat atau pesta tahunan.

Oleh itu, umat Islam perlu benar-benar memahami falsafah puasa yang selaras dengan al-Quran dan sunah serta mengelakkan daripada menjadikan puasa hanya sebagai adat tahunan sahaja.

Di antara ciri-ciri tingkah laku yang perlu dihindarkan kerana telah menjatuhkan martabat puasa kepada tahap adat semasa ialah:

* Menyempitkan skop puasa hanya dengan menahan makan dan minum pada siang hari sahaja. Sedang mata, hati dan lidah tidak ditahan daripada melakukan dosa. Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala berpuasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya. (riwayat Al-Bukhari)

* Berpuasa pada siang hari sahaja daripada melakukan dosa dan maksiat. Selepas berbuka segala kegiatan maksiat seperti mengumpat, merokok, mencaci, melakukan zina mata diteruskan seperti biasa.

* Berlebih menyediakan juadah berbuka puasa sehingga melakukan pembaziran. Allah berfirman, Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara kepada syaitan. (al-Isra':27)

* Berlebih makan ketika berbuka sehingga meletihkan badan dan menghalang daripada melakukan ibadah di malamnya. Sikap bersederhana Rasulullah s.a.w di dalam berbuka puasa perlu dicontohi sebagaimana maksud hadis: Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rutab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air. (riwayat Abu Daud, Ahmad & Al-Tirmidzi)

* Malas menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah sunat seperti melakukan solat tarawih, solat malam dan sebagainya.

* Terdorong untuk bersolat tarawih hanya kerana sandaran kepada hadis palsu yang menyatakan kelebihan bersolat tarawih pada setiap malam. Untuk itu, pihak berkuasa agama perlu menghindarkan penyebaran hadis inidaripada berleluasa seperti tahun-tahun terdahulu.

* Mengabaikan ibadah malam bermula dengan solat berjemaah maghrib, isyak dan tarawih kerana sibuk menonton televisyen atau kerana urusan-urusan lain.

* Malas bekerja dan tidak produktif semasa berpuasa dengan alasan keletihan. Bayangkan bagaimana nabi s.a.w dan para sahabat berperang Badar dengan nisbah 300 melawan 1,000 orang.

* Malas membaca al-Quran atau hanya mengehadkan bacaanpada surah Yasin sahaja. Sedangkan baginda s.a.w senantiasa menyemak dan mengkhatamkan al-Quran sekali di dalam bulan Ramadan dengan Jibril a.s.

* Malas berdoa sedangkan doa orang yang puasa akan dimakbul oleh Allah berdasarkan sabda nabi s.a.w : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak ditolak. (riwayat Ibn Majah).

* Mengabai serta meninggalkan peluang beribadat pada 10 malam terakhir Ramadan kerana sibuk dengan persiapan menyambut hari raya.

* Tidak bersedih dengan berakhirnya bulan Ramadan. Juga tidak bimbang sekiranya tidak dapat bertemu Ramadan yang akan datang.

* Memiliki kepercayaan-kepercayaan karut tentang kepulangan roh orang yang telah mati pada bulan Ramadan. Sedangkan kepercayaan tersebut adalah bertentangan dengan konsep roh dan alam barzakh (al-Mukminun: 99-100)

* Kepercayaan kepada perlunya menyalakan pelita pada malam 7 likur. Akibat kepercayaan ini Islam telah terfitnah dengan tohmahan pihak tertentu yang mengatakan malaikat orang Islam rabun malam. Oleh sebab itu, pelita perlu dinyalakan sebagai panduan kepada para malaikat yang turun membawa berkat. (Rujuk- http://youtube.com/watch?v=RgT-_Uf62rk)

* Tidak menunaikan sembahyang fardu ketika berpuasa atau hanya bersolat pada bulan Ramadan sahaja. Sabda nabi s.a.w : Beza di antar seorang Muslim dengan syirik serta kekufuran adalah meninggalkan solat. (riwayat Muslim). Menurut sebahagian ulama salaf, orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dihukum kafir. Maka sudah pasti amalan puasa orang yang kafir tidak akan diterima oleh Allah.

* Memusnahkan pahala puasa sebulan dengan sambutan hari raya yang melampau sehingga melakukan maksiat.

Ini adalah di antara beberapa kesalahan yang biasa dilakukan oleh umat Islam semasa menjalankan ibadat puasa yang telah merendahkan martabat bulan Ramadan. Oleh itu, kita perlu menghindarkan perkara-perkara tersebut demi menjamin pahala yang berganda di bulan ini.

Ini berdasarkan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lepas. (riwayat al-Bukhari)

Wednesday, 21 July 2010

Persiapan Hati Menyambut Ramadhan

Alhamduilllah Ramadhan semakin hampir menemui kita. Bulan Ramadhan bukan sekadar bulan berpuasa, tetapi bulan yang penuh dengan rahmat, keberkatan, penganugerahan, keampunan dari Allah swt. Justeru beruntunglah mereka-mereka yang dapat menghayati dan menghidupkan bulan ramadhan dengan sebaik-baiknya.

Segala anugerah Allah dibulan Ramadhan hanya dapat dinikmati oleh mereka yang beramal dan menghayati bulan Ramadhan dengan bersungguh-sungguh. Kesungguhan menghayati bulan Ramadhan bermula dari hati. Oleh itu hati mestilah bersedia terlebih dahulu untuk menyambut ketibaan ramadhan sebagai permulaan bermulanya kehidupan seorang hamba di bulan Ramadhan.

Hati seorang hamba yang inginkan kejayaan dan kemenangan dibulan Ramadhan hendaklah ada sifat dan perasaan berikut;


1. Gembira. Gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan dan anugerah yang disediakan.

وهو شهر أوله رحمة وأوسطه مغفرة ، وآخره عتق من النار

Maksudnya; Bulan Ramadan ialah bulan di awalya kerahmatan Allah, dipertengahannya keampunan Allah dan akhiirnya pelepasan dari api neraka.

للصائم فرحتان : فرحة عند فطره ، وفرحة عند لقاء ربه

Maksudnya; Orang yang berpuasa mengecapi dua kegembiraan, gembira ketika berbuka dan gembira ketika bertemu tuhannya.

إن للجنة بابا يقال له الريان يقال يوم القيامة: أين الصائمون فإذا دخلوا أغلق ذلك الباب"

Maksudnya; Sesungguhnya di Syurga ada pintu bernama Rayyan. Diseru pada hari qiamat, mana orang-orang yang berpuasa? Apabila mereka masuk, pintu tersebut ditutup.


2. Mengharap keampunan Allah kerana bulan Ramadhan adalah bulan keampunan

من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

Maksudsudnya; Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah nescaya diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.


3. Sabar.

كل عمل ابن آدم يضاعف : الحسنة بعشر أمثالها ، إلى سبع مائة ضعف إلا الصوم , فإنه لي وأنا أجزي به , يدع شهوته وطعامه من أجلي "

Maksudnya; Setiap amalan manusia digandakan hingga sepuluh kali ganda, sehingga tujuh ratus kali ganda melainkan puasa, Allah berkata; ia untukKu dan Aku yang membalasnya kerana ia meninggalkan syahwatnya dan makanannya kerana Aku.


4. Tamak dan haloba dalam melakukan ibadah kerana pahala amalan berlipat ganda dan adanya malam lailatul qadar..

التمسوها في العشر الأواخر من رمضان

Maksudnya; Carilah malam lailatul qadar di sepuluh yang akhir di bulan Ramadhan.


5. Pemurah dan Pemaaf..

كان النبي صلى الله عليه وسلم أجود الناس بالخير وكان أجود ما يكون في رمضان

Maksudnya; Nabi adalah manusia yang palih pemurah dan lebih pemurah di bulan Ramadhan.

من فطَّر صائماً كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئاً

Maksudnya; Sesiapa yang memberikan makanan untuk berbuka orang yang puasa, ia akan memperolehi pahala sebagaimana orang yang berpuasa, tidak kurang sedikitpun pahala orang yang berpuasa.


6. Takut, takut tidak dapat meraih berbagai anugerah tuhan di bulan Ramadhan.

خاب وخسر من ادرك رمضان ولم يغفر له

Maksudnya; Rugilah orang yang berada di bulan Ramadhan tetapi tidak mendapat keampunan dari Allah swt.

Saturday, 10 July 2010

FAKTOR YANG MENENTUKAN KEBERKESANAN PROSES PENDIDIKAN


SESUATU teori pendidikan tidak akan sampai kepada matlamat yang dihajati jika teori atau idea itu tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan. Keberkesanan itu diukur dengan melihat sejauh mana natijah yang dihajati bertunas dan berkembang dalam diri individu yang dididik.

Pendidikan yang tidak berkesan bukan sahaja merugikan tenaga dan wang, tetapi yang dibimbangi ialah menghasilkan natijah yang bertentangan dengan yang dihajati. Oleh itu marilah kita bincangkan faktor-faktor yang boleh membawa kepada keberkesanan sesuatu proses pendidikan.

FAKTOR PERTAMA:

Faktor pertama yang boleh membawa kepada penghasilan natijah Islam dalam diri anak-anak yang kita didik ialah qudwah hasanah (suri teladan). Kepentingan qudwah hasanah telah dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari qiamat dan dia banyak menyebut nama Allah”.

Peranan pendidik yang boleh diteladani adalah sangat kritikal kerana ia bukan hanya berfungsi untuk mengatur suasana belajar atau meyampaikan isi kandungan sesuatu yang perkara ingin diajarnya, tetapi ia juga berperanan membentuk kefahaman, keyakinan, penghayatan, pekerti serta peribadi anak-anak yang dididik.

Malah perkataan ‘tarbiyah’ itu sendiri antara lain bermaksud: “...pendekatan yang terbaik sekali dalam bertafa’ul (berinteraksi) dengan fitrah insan dan melaksanakan proses pendidikan melalui tunjuk ajar lisan dan teladan.”

Pengajaran dan pendidikan menjadi tidak berkesan apabila tindakan atau perilaku mu’allim atau murabbi (pendidik) bertentangan dengan isi kandungan pengajarannya sendiri. Sebenarnya pengajaran melalui tindakan adalah lebih berkesan daripada pengajaran secara lisan. Peribahasa Melayu sendiri ada menyebutkan, “Jika guru kencing berdiri, murid kencing berlari”. Begitulah pentingnya kedudukan pendidik dalam pembentukan diri anak-anak.

Dalam konteks keluarga pula ibu bapa adalah murabbi kepada anak-anak mereka setiap kali berlaku interaksi antara kedua-dua pihak. Dalam pendidikan di rumah kedudukan ibu bapa sebagai qudwah (contoh) menjadi lebih penting kerana anak-anak lebih terdedah kepada peribadi dan tingkah laku ibubapanya.

Kita semua menyedari bahawa sungguh banyak pengajaran dan pengalaman yang diperolehi anak-anak melalui interaksi dengan ibu bapa mereka sejak hari pertama kelahiran lagi. Pengajaran dan pengalaman ini mungkin membina keperibadian mereka. Kanak-kanak kecil belajar melalui pengamatan dan meniru perlakuan dan tindak tanduk ibu bapanya. Melalui pengamatan, akan terbentuk sesuatu di dalam mental anak-anak dan akan menjadi satu pelajaran kepada mereka. Oleh itu sesuatu tingkah laku ibu bapa yang dilakukan secara berterusan ataupun sekurangnya berkali-kali, akan membentuk proses pengukuhan dalam diri anak-anak. Akhirnya tindakan tersebut akan menjadi sebati dengan peribadi anak-anak.

Saya berpendapat pada tahap paling awal, anak-anak akan terdidik melalui pengamatan dan pemerhatiannya. Misalnya, apabila anak-anak (mungkin berumur dua tahun) mendapati setiap kali azan dilaungkan di surau yang berdekatan, bapanya bergegas menuju ke surau atau ahli keluarganya bersiap-siap untuk mendirikan solat bersama-sama, lama-kelamaan anak kecil itu akan memahami keperluan untuk memberikan tindak balas yang sewajarnya kepada laungan azan. Perkara itu berlaku walaupun anak tersebut tidak memahami apa itu azan dan apakah tindakan yang perlu dibuat sebagai respons setiap kali azan dilaungkan. Begitu juga jika anak kecil itu melihat bapanya membaca al-Quran setiap kali selepas solat Maghrib. Setelah memerhatikan beberapa kali, anak itu sudah boleh menjangkakan keperluan bapanya dengan cara si anak itu sendiri mengambil mushaf yang sering digunakan dan memberikan kepada bapanya. Inilah yang dikatakan pendidikan atau pengarahan secara teladan.

Saya pernah membaca dalam tulisan asy-Syahid Sayid Qutb yang menceritakan tangisan bapanya setiap kali mendirikan solat serta ketekunan dan kesungguhan ibunya membaca al-Quran, meninggalkan kesan yang mendalam di dalam jiwanya sehingga beliau sendiri menghayati rasa nikmat beribadah kepada Allah SWT.

Pakar pendidikan di barat membuat kesimpulan bahawa anak-anak kecil (sejak umur beberapa bulan lagi) menerima rangsangan melalui indera mereka. Rangsangan itu meninggalkan kesan ke atas pembangunan diri mereka seperti pembinaan minda, perbendaharaan kata, gerak geri dan tingkah laku. Oleh itu ibu bapa bukan sahaja perlu menghiasi rumah dengan bahan-bahan yang boleh merangsang peribadi anak-anak (termasuk pemilihan barang-barang permainan yang sesuai), tetapi juga menghiasi tindakan dan perilaku mereka sendiri. Keadaan itu sebenarnya tidak terhad sewaktu berinteraksi dengan anak tetapi juga sewaktu interaksi antara ibu dan bapa sendiri, terutamanya sewaktu di depan anak-anak. Sebagai contoh, sebahagian ibu bapa sering membimbing anak-anak dengan teriakan negatif seperti “Jangan usik ini”, “Jangan buat itu” atau “Jangan pegang”. Tindakan itu mungkin menyebabkan anak-anak menafsirkan bahawa membuat ujikaji atau melakukan suatu yang kreatif adalah satu kesalahan.

FAKTOR KEDUA:

Faktor kedua ialah persekitaran yang membina dan memberangsangkan sesuai dengan pendidikan yang dilaksanakan. Hiasan dalam rumah sewajarnya merangsang dan memperkukuhkan nilai-nilai yang hendak dipupuk di dalam diri anak-anak. Suasana dalam rumah bukan sahaja perlu bersih daripada perhiasan yang terlalu mewah dan diharamkan oleh syara’, tetapi juga mestilah boleh menjuruskan anak-anak kepada hakikat ‘ubudiyah' kepada Allah SWT dan mencintai Rasulullah SAW. Oleh itu, hiasan di dalam rumah perlu dirancang untuk menjuruskan anak-anak kepada hakikat tauhid kepada Allah. Dinding rumah dan bilik bolehlah dihiasi dengan gambar pemandangan yang menunjukkan ciptaan Allah SWT seperti pemandangan gunung, matahari dan bulan serta dihiasi pula dengan ayat (berserta maknanya) yang sesuai dengan gambar tersebut.

Sekiranya anak-anak itu sudah boleh melukis, galakkan mereka melukis gambar-gambar seperti itu dan tampalkan di dinding bilik mereka. Ini bukan sahaja boleh memenuhi matlamat untuk menghiasi rumah tetapi juga memupuk bakat dan membina keyakinan diri anak-anak.

FAKTOR KETIGA:

Faktor ketiga ialah kefahaman serta kemahiran ibu bapa mendidik dengan mengambil kira tahap perkembangan umur dan kemampuan anak-anak. Kefahaman yang terpenting sekali ialah kefahaman terhadap pendidikan yang dituntut oleh Islam. Kefahaman yang tepat dan mendalam membolehkan anak-anak dibimbing peringkat demi peringkat sehingga tasawwur (prinsip) Islam terbina di dalam diri mereka. Kefahaman dalam aspek perkembangan anak-anak adalah perlu bukan sahaja sewaktu mereka sudah menjangkau usia dua atau tiga tahun, sebaliknya sejak peringkat kelahirannya sehingga ia mula menunjukkan tindak balas terhadap persekitarannya dan seterusnya sewaktu dia sudah berumur hinggalah ke peringkat yang lebih matang.

Selain itu, ibu bapa perlu faham dan mahir untuk meluruskan tabiat atau kelakuan anak-anak apabila berlaku kegelinciran atau penyelewengan daripada sikap, akhlak dan adab keislaman. Dalam hal ini, Islam mempunyai pendekatan yang tersendiri bagi melakukan pembaikan atau rawatan kepada masalah-masalah yang berkaitan dengan tingkah laku anak-anak.

PENUTUP:

Pendidikan anak-anak merupakan satu tanggungjawab yang perlu diberi perhatian serius serta menuntut kesungguhan dan pengorbanan yang tinggi daripada ibu bapa. Masa depan generasi akan datang banyak bergantung kepada cara mereka dibimbing dan dibentuk. Oleh itu, ibu bapa perlu merasakan tanggungjawab ini dan perlu pula melengkapkan diri mereka dengan ilmu dan kemahiran keibubapaan secara Islam.

Jika kita pergi ke kedai-kedai buku, ada banyak buku berkaitan dengan keibubapaan yang ditulis oleh tokoh Barat. Saya yakin ramai golongan terpelajar yang mengenali Dr Benjamin Spock, Dr Merriam Stoppard, Anna Montesorri dan Glen Dorman. Nama-nama ini adalah sebahagian sahaja daripada nama yang terkenal di dalam pendidikan keibubapaan dan anak-anak. Selain buku-buku tulisan mereka, juga terdapat majalah-majalah cetakan Barat khusus mengenai keibubapaan.

Walaupun terdapat manfaat daripada sumber-sumber itu, kita perlu sedar bahawa mereka mempunyai falsafah dan matlamat tersendiri dalam mendidik anak-anak. Sebagai Muslim kita mempunyai falsafah dan matlamat yang berlainan sama sekali daripada mereka. Oleh itu kita perlu merujuk kepada tulisan-tulisan yang dihasilkan oleh ulama muktabar, cendekiawan dan tokoh-tokoh pendidikan Islam. Antaranya ialah Dr Abdullah Nasih Ulwan, Muhammad Qutb, Dr Adil Ghanam dan Dr Abdul Rahman an-Nahlawi. Tidak ketinggalan juga ulama-ulama silam seperti Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dan Ibnu Khaldun.

Seperkara yang tidak kurang pentingnya ialah ramai ibu bapa yang merasakan tanggungjawab mereka telah terlaksana dengan menghantar anak-anak mereka ke taman-taman asuhan atau tadika Islam sehingga mereka hampir-hampir tidak lagi berperanan dalam proses pembentukan anak-anak. Langkah menswastakan pendidikan anak-anak ini mungkin diambil di atas keperluan tertentu tetapi kita perlu sedar bahawa pembentukan anak-anak masih lagi dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT ke atas diri kita dan kita perlu melakukan dengan segala daya dan upaya demi membentuk mereka menjadi pewaris dan pendokong risalah Islam pada masa depan.

Thursday, 8 July 2010

Menilai Kemuliaan Diri pada Sya'ban dan Ramadhan



Keberkatan kedua-dua bulan wajar jadi dorongan kepada manusia melipatgandakan amal.


"JIKA kejahatan dibalas dengan kejahatan,maka ia dendam.Jika kebaikan dibalas dengan kebaikan,ia perkara biasa.Jika kebaikan dibalas dengan kejahatan,ia adalah zalim.Tetapi jika kejahatan dibalas dengan kebaikan itu adalah mulia dan terpuji," kata novelis terbilang berasal dari Kanada pada awal abad ke-20,Moza de la Roche.

Kita melihat hikmah yang mendalam di sebalik kata-kata itu.Nilai kebaikan sejagat yang ada di dalamnya ialah balaslah kejahatan dengan kebaikan jika kita ingin hidup mulia dan terpuji dan jangan sekali-kali kita berbuat sebaliknya kerana ia satu kezaliman.

"Dan jika kamu membalas kejahatan(pihak lawan),maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang sudah ditimpa kepada kamu,dan jika kamu bersabar,(maka)sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang yang sabar." (Surah al-Nahl: 126)

Nilai kebaikan sejagat yang ada pada ayat ini ialah sifat mulia dan terpuji yang ada pada kesabaran dengan tidak membalas kejahatan orang lain terhadap diri kita walaupun ia dibenarkan atas dasar qisas sebagai 'semangat' keadilan.

Oleh itu kita dapati baginda Rasulullah SAW menarik balik sumpahnya untuk mengqisas Wahsyi,budak yang membunuh bapa saudara Rasulullah,Hamzah kerana baginda mahu mendapatkan pahala sabar yang besar di samping melaksanakan anjuran Allah SWT dalam ayat di atas.

Maha Benar Allah SWT dengan firman-Nya bermaksud:

"Dan bersabar (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu)dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan(memohon pertolongan)Allah dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka,dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan."(Surah al-Nahl: 127).

Pada bulan yang mulia ini,Syaaban sebagai pembuka kepada bulan mulia yang lain, Ramadan ada baiknya kita menilai diri di manakah keadaan kita sebenarnya di antara orang yang mulia?Orang yang mulia berakhlak baik kerana akhlak yang baik itu adalah kebahagiaan tersendiri,sedangkan akhlak yang buruk adalah petaka dan bencana.

Dalam hadis bermaksud:

"Sesungguhnya akhlak yang baik dapat menjadikan seseorang mampu mencapai darjat orang yang suka berpuasa dan orang yang suka melakukan sembahyang malam."

Baginda sentiasa berdoa pada Syaaban ini dengan doanya yang masyhur "Allahumma barik lana fi Sya'ban,wa ballighna Ramadan", Ya Allah,anugerahkan kami keberkatan pada Syaaban dan sampaikan hidup kami ke Ramadan.Betapa mulianya Ramadan sehingga Baginda mengharapkan dapat hidup di dalamnya walaupun diantara Syaaban dan Ramadan tinggal selangkah lagi.Betapa besarnya Ramadan sehinggakan Baginda ingin mendapatkan kebesarannya walaupun masih berada dalam Syaaban.

Kebaikan yang ada dalam kedua-dua bulan mulia ini sangat banyak dan tidak seperti bulan lain.Baginda tidak pernah banyak berpuasa sunat kecuali pada Syaaban, sedangkan selama Ramadan baginda menunaikan kewajipan puasa.

Pada Syaaban,ada malam Nisfu Syaaban dan dalam Ramadan ada malam Nuzul al-Quran. Dalam Syaaban ada solat sunat Nisfu Syaaban bagi sesetengah umat yang mahu melakukannya,manakala pada Ramadan ada solat tarawih bagi semua umat.Pada Syaaban pengampunan Allah SWT ke atas umat manusia kecuali orang musyrik,orang yang bermusuhan,pembunuh diri dan pelaku zina manakala pada Ramadan ada pembebasan manusia daripada api neraka.

Kebaikan sedemikian yang kita cari di dunia sebagai jalan menuju kehidupan abadi di akhirat kelak.Melalui kebaikan itu kita akan mendapatkan kemuliaan dan kemuliaan akan mendekatkan kita kepada al-Khaliq,Maha Pencipta.

Allah berfirman yang bermaksud:

"Sesiapa yang mahukan kemuliaan(maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah SWT)kerana bagi Allah jugalah segala kemuliaan.Kepada Allah jugalah segala perkataan yang baik(yang menegaskan iman dan tauhid,untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan)dan amal yang salih pula diangkat-Nya naik(sebagai amal yang makbul,yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya)dan sebaliknya,orang yang merancangkan kejahatan(untuk mendapat kemuliaan),adalah bagi mereka azab yang berat dan rancangan jahat mereka(kalau berkesan pun)akan rosak binasa."(Surah Fatir: 10)

Jika kemuliaan boleh didapati dengan melaksanakan perintah Allah SWT seperti dikatakan ayat di atas,maka sebaliknya kehinaan akan diperoleh seseorang jika dia mengetepikan perintah berkenaan.

Dalam realiti kehidupan negara,kemuliaan warga negara dapat diperoleh jika dia melaksanakan semua peraturan negara dengan baik.Bagi pemimpin pula,kemuliaan kepemimpinannya akan semakin terserlah dengan lapan perkara.

Abu Ja'far bin Babawaih al-Sijistani berkata: "Seorang raja pernah menulis surat kepada raja negeri lain. "Bagaimana engkau mengatur kerajaanmu dan memerintah rakyatmu? Raja negeri itu menjawab: "Dengan lapan cara;

- tidak bergurau ketika memerintah dan melarang.
- tidak melanggar satu pun janji dan ancaman.
- menghukum berdasarkan kesalahan bukan berdasarkan kedengkian.
- mengangkat pegawai berdasarkan kecekapan bukan berdasarkan keinginan.
- memujuk hati rakyat dan tidak memaksa.
- mempermudah pemberian kebenaran bukan kerana kelemahan.
- menyediakan bahan makanan dengan merata dan,
- menghindari perkara yang berlebihan."

Kemuliaan itu bukanlah diukur dengan kegagahan dan penampilan.Hidup kekurangan bukanlah bukti bahawa dia hidup sengsara.Demikian pula kebahagiaan,tidak dinilai daripada banyaknya harta dan hidup dalam kemewahan.

Nilai manusia yang mulia sebenarnya diukur daripada kemurahan hati dan sifat terpuji,bukan baju yang dipakainya,kasut yang digunakannya,bukan istananya dan bukan pula rumahnya.Justeru,yang menjadi ukuran ialah nilai ilmu,dermawan,kesabaran dan akalnya yang dirangkumkan dalam istilah takwa.

"Sesungguhnya,orang yang paling mulia di antara kalian adalah orang yang paling bertakwa," maksud firman Allah dalam Surah al-Hujurat(ayat 13).

Syaitan sebagai musuh yang wajib kita lawan menyuruh berbuat jahat dengan tidak mengendahkan ajaran Allah.Dengan mengikuti jejaknya itu kita akan tersesat dan hina. Oleh itu supaya kita tidak tersesat dan menjadi mulia,kita wajib melawannya dengan tidak membalasnya melakukan perbuatan dosa tetapi dengan melakukan perbuatan baik. Di situlah kemuliaan manusia terserlah dan pada Syaaban dan berikutnya Ramadan adalah masa sesuai untuk bertindak menuju kepada kemuliaan."Allahumma barik lana fi Sya'bana wa ballighna Ramadana".

wallahualam..
Related Posts with Thumbnails